KOTA BHARU 6 April – Rahsia sebuah banglo yang lengang di Kampung Tong, Kubang Gadong, Pasir Mas terbongkar hari ini apabila kediaman tersebut sebenarnya didapati menjadi lokasi penyimpanan sebanyak 320 bungkusan tembakau seludup seberat 3.2 tan yang bernilai kira-kira RM226,000 termasuk cukai.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi oleh sepasukan anggota Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) negeri itu, tembakau berkenaan dijumpai tersembunyi di bahagian dapur banglo dua tingkat tersebut yang telah diubah suai menjadi sebuah stor.
Komander Aksem negeri, Asri Yahya berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya selama dua minggu dan rampasan tersebut adalah yang pertama tahun ini.
“Tembakau terbabit dipercayai diseludup dari Thailand dan disimpan buat sementara waktu di banglo berkenaan sebelum dibawa ke kilang di sebuah negeri di utara untuk diproses menjadi rokok
“Kita percaya kegiatan ini dilakukan menerusi pangkalan haram di sepanjang sungai di sempadan Malaysia-Thailand dan didalangi warga asing serta orang tempatan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Samsudin Noor.
Menurut Asri, pasukan Aksem membuat pemerhatian dan menunggu selama sejam namun tiada pihak atau individu yang datang menuntut atau mengaku memiliki tembakau tersebut.
“Walaupun tiada tangkapan dibuat, usaha memburu suspek yang terlibat dalam sindiket itu sedang giat dilakukan. Kesemua barangan rampasan dibawa ke ibu pejabat Aksem sebelum diserahkan kepada LKTN,” katanya.
Sementara itu, Samsudin berkata, susulan rampasan tersebut, pihaknya menubuhkan pasukan khas terdiri daripada pegawai penguatkuasaan untuk menyiasat secara menyeluruh kes tersebut.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 51 Akta LKTN 2009 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. Utusan