MELAKA – Mahkamah Majistret di sini semalam mengarahkan seorang anggota tentera dipenjara dua hari dan didenda RM13,000 atas pertuduhan memandu secara membahaya hingga menyebabkan kemalangan tahun lalu.
Majistret Mohd. Asri Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Yushaszuan Mohd. Yusof (gambar), 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh mahkamah terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang memandu kereta jenis Proton Wira didakwa memandu secara bahaya.
Bagi pertuduhan kedua, dia yang memandu kenderaan sama didakwa telah menyebabkan kemalangan ke atas seorang penunggang motosikal.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada hari, tempat dan masa sama iaitu di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini, pukul 2.30 pagi, 16 Ogos tahun lalu.
Kes didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 dan Seksyen 43(1) akta sama (Pindaan) 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali. -Kosmo