KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa dekat sini, Rabu lalu.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu berlaku ketika mangsa, 18, bersama teman wanitanya datang ke lokasi tersebut untuk aktiviti riadah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa yang berada di dalam kereta cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya, namun gagal selepas tersangkut di bahu jalan.
Menurutnya, mangsa dan teman wanitanya kemudian keluar dari kenderaan dan melarikan diri.
“Suspek bertindak luar jangkaan apabila memecahkan cermin kereta mangsa sebelum membakarnya.
“Mangsa yang tiba semula di lokasi kejadian bersama bapanya kira-kira jam 6.30 pagi, mendapati keretanya hangus sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, semalam.
Beliau berkata, pada Khamis dan Sabtu lalu, polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 33 tahun di sekitar Hulu Klang, Taman Melati dan Chow Kit. Ujian air kencing mendapati dua daripada mereka terlibat penyalahgunaan dadah.
Polis masih memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian yang dipercayai bermotifkan dendam itu.
Kesemua mereka direman sehingga esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. -SinarOnline