KOTA BHARU – Padah buat seorang lelaki berusia 40 tahun kerana bertindak menyerang seorang pelanggan di sebuah kedai makan, tahun lalu, dia dihukum penjara sembilan tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, tadi.
Tertuduh, Tan Poh Hua dari Jenjarom, Selangor dihukum Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas dia mengaku bersalah.
Tertuduh didakwa bersama dua yang masih bebas dengan sengaja dengan menggunakan parang, mendatangkan kecederaan parah iaitu retak tulang kaki Sin Cin Ann, 53, di sebuah kopitiam di Taman Krai Baru, Kuala Krai, pada jam 1.50 pagi, 31 Oktober.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang duduk di dalam kedai didatangi tertuduh yang bersenjatakan parang bersama dua lagi lelaki bertopeng serta menyerangnya secara tiba-tiba.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba meleraikan pergaduhan dan merampas parang yang digunakan sebelum ketiga-tiganya melarikan diri. -SinarOnline