SHAH ALAM – Padah seorang pengawal keselamatan warganegara India apabila cedera ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Kota Kemuning, dekat sini, hari ini.
Serbuan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) kira-kira jam 11 pagi ini turut membabitkan kerjasama dari Jabatan Imigresen Putrajaya.
Pengawal keselamatan berusia 34 tahun itu dikatakan berselisih dengan pegawai imigresen di tangga pusat beli-belah berkenaan.
Menyedari dirinya akan ditangkap, pengawal keselamatan itu cuba melarikan diri sebelum kepalanya terhantuk di dinding tangga hingga menyebabkan bahagian kening kanannya berdarah. Bagaimanapun, pengawal tersebut cuba bertindak agresif untuk meloloskan diri.
Ketika ditanya pemberita, dia yang enggan memberitahu namanya berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja.
“Saya dah bekerja satu bulan di sini dengan gaji RM1,200,” katanya.
Selain itu, pengawal keselamatan tersebut juga mendakwa dirinya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak kecil.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zaini Mat Zin berkata, operasi hampir dua jam ini berjaya menahan seramai 15 warganegara asing membabitkan warga Nepal dan India berusia 15 hingga 40 tahun.
“Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen selain menyalahgunakan permit bekerja,” katanya kepada pemberita, di lokasi hari ini.
Mengulas tentang lambakan pengawal keselamatan warga asing ini, beliau berkata, ini berikutan faktor bayaran gaji yang lebih rendah.
Katanya, dengan risikan selama seminggu ini, KDN akan memanggil majikan mereka untuk tindakan lanjut.
“Pihak majikan bakal berdepan tindakan digantung atau pembatalan lesen.
“Kesemua pengawal keselamatan warga asing ini di bawah ke Depoh Tahanan Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen dan pas yang sah,” katanya. -SinarOnline