KUALA LUMPUR: Gambar empat rakyat Malaysia yang diculik lelaki bersenjata berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lalu, dimuat naik ke laman Facebook dipercayai milik ahli kumpulan penjenayah itu, Ahad lalu.
Menggunakan nama ‘Victor Troy Poz’ dan dipercayai akaun sementara, gambar itu memaparkan keempat-empat mangsa culik yang juga kru kapal, dalam keadaan mencangkung sambil memegang sekeping kertas bertulis ‘Victor Troy’.
Ia turut memaparkan tarikh 8 April lalu, dua hari sebelum gambar berkenaan dimuat naik. Laman Facebook itu dipercayai diwujudkan pada hari sama dan hanya mengandungi tiga gambar termasuk gambar mangsa culik.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan keempat-empat mangsa culik iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21, masih hidup.
Khalid turut dilaporkan berkata, rundingan dengan pihak berkuasa Filipina masih diteruskan untuk pembebasan mereka. -BHOnline