KAMPAR: Seorang suri rumah bersama anak perempuannya yang juga penuntut universiti awam, ditahan polis kerana dipercayai mencuri 17 bungkus kopi di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Dalam kejadian itu jam 2.30 petang, dua beranak yang berusia 22 dan 56 tahun itu pergi ke pasar raya di Jalan Kuala Dipang-Kampar di sini, dengan menaiki kereta PERODUA Kelisa sebelum dipercayai mencuri kopi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Ng Kong Soon, berkata pihaknya menerima aduan daripada penyelia pasar raya yang mendakwa 17 bungkusan Nescafe Classic Arabica & Robusta Blend seberat 300 gram didapati hilang.
Katanya, suspek dapat dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya itu. “Berdasarkan nombor pendaftaran kereta suspek, seorang daripada berjaya dihubungi sebelum suri rumah bersama suaminya serta anak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar jam 6.20 petang bersama 16 barang kes.
“Suspek mendakwa singgah ke pasar raya itu dalam perjalanan dari Sungai Jawi, Pulau Pinang ke rumah ahli keluarga di Lumut, dekat sini. “Dia mengaku mencuri kerana tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan harian anak di universiti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kong Soon berkata, dua beranak berkenaan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.