Image may be NSFW.
Clik here to view.
KUALA LUMPUR: Polis sedang berusaha mengesan dua anggotanya yang didakwa melakukan pemerasan wang terhadap seorang lelaki, dipercayai pelajar, selepas video memaparkan perlakuan mereka itu tersebar di media sosial, hari ini.
Video tanpa suara berdurasi dua minit 51 saat dimuat naik oleh di laman Facebook ‘Malaysia Viral Story’ sejak pagi semalam, menunjukkan dua lelaki berpakaian seragam polis dengan salah seorang daripada mereka dilihat membelek telefon bimbit, dipercayai milik pelajar terbabit.
Pada masa sama, anggota itu seolah-olah bertanyakan sesuatu kepada mangsa sebelum pelajar itu dilihat mengeluarkan dompet dari poket seluar dan diambil anggota berkenaan.
Tidak lama kemudian, mangsa dilihat mengambil semula dompetnya yang diletakkan dan mengeluarkan sejumlah wang lalu diberikan kepada anggota polis itu sebelum mangsa beredar dari lokasi.
Berdasarkan rakaman, kejadian turut disaksikan dua individu lain yang dipercayai turut menjadi mangsa apabila polis itu dilihat memulangkan semula telefon bimbit kepada salah seorang dari mereka.
Video itu menjadi viral apabila ia ditonton lebih 200,000 pengguna dan menerima 2,000 ‘like’ serta lebih seribu komen daripada netizen, yang majoritinya mengutuk perbuatan anggota terbabit dan mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian mahu pun bila ia berlaku atau siapa yang merakam video itu berikutan tiada pihak tampil membuat laporan setakat ini.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata polis memandang serius insiden itu yang secara terang mencemar imej dan kredibiliti pasukan.
Katanya, polis meminta kerjasama mangsa dan mereka yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat supaya berhubung dengan mana-mana balai terdekat bagi membantu siasatan, seterusnya mengesan anggota yang terbabit.
“Polis tidak mengamalkan ‘Blue Wall of Silence’ (menyembunyikan salah laku) dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh mana-mana warganya,” katanya dalam satu kenyataan. -BHOnline