ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit menyamun dan meminta wang perlindungan bulanan dari pekerja asing di Bandar Selesa Jaya, dekat sini.
Penganggur berusia 19 tahun dan pemandu lori berusia 27 tahun itu, dipercayai menjadikan pekerja asing sebagai sasaran selain turut menyamun serta mencederakan mangsa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata perbuatan lelaki itu terbongkar selepas polis menahan mereka di dua rumah berasingan di Bandar Selesa Jaya, dekat sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Katanya, suspek dipercayai turut memeras ugut pekerja asing dengan meminta wang perlindungan sebanyak RM30 seorang mulai bulan lalu.
“Bulan lalu, suspek ke rumah kedai tiga tingkat dihuni 80 pekerja asing sebelum meminta wang RM30 setiap seorang dan turut memberikan nombor telefon kepada mangsa untuk dihubungi jika wang diminta sudah dikumpulkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, kegagalan mangsa menyerahkan wang perlindungan bulan ini menyebabkan suspek dikatakan menahan dua mangsa dan menumbuk serta menoreh tangan dan belakang mangsa dengan pisau kira-kira jam 10 malam, 12 April lalu.
“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera teruk hingga terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini, selain kehilangan telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai yang semuanya bernilai kira-kira RM1,000,” katanya.
Noor Hashim berkata, polis menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 2.30 pagi tadi hasil maklumat awam manakala suspek berusia 19 tahun itu turut positif dadah jenis syabu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. -BHOnline