KOTA KINABALU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan dua buah bot daripada menjalankan aktiviti mengebom ikan dalam satu operasi di perairan Tanjung Gaya di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.35 pagi itu, bot peronda APMM telah mengesan kehadiran dua buah bot dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, juragan bot yang terkejut dengan kehadiran APMM telah memecutkan bot mereka ke persisir Teluk Saban sebelum melarikan diri ke daratan.
“Pemeriksaan ke atas bot-bot tersebut telah menemui peralatan-peralatan mengebom ikan yang dipercayai bagi tujuan menangkap ikan,” katanya di sini sebentar tadi.
Tambah beliau, semua peralatan mengebom dan kedua-dua bot terbabit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran telah dirampas untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE