KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Iran ditahan di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri di sini selepas disyaki menanam pokok ganja.
Suspek berusia 33 tahun itu ditahan semalam selepas pihak polis menemui dua pasu kecil yang mengandungi lapan batang anak pokok ganja di balkoni kondominium tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, serbuan pukul 6.40 petang itu dilakukan hasil risikan serta maklumat daripada orang awam.
“Hasil siasatan mendapati suspek sudah menanam pokok itu sejak tiga bulan lalu dan dia memperoleh benih itu dari negaranya sendiri.
“Kita percaya ganja yang ditanam itu untuk kegunaan suspek sendiri, malah hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif ganja,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur tadi. – K! ONLINE