POKOK SENA: Seorang pelajar Tingkatan Dua trauma selepas siku kanannya retak berikutan didera dua rakan kelasnya dalam kejadian di sebuah sekolah, Isnin lalu.
Mangsa, M Kavi Varman, 14, ditendang dari belakang sehingga terjatuh, menyebabkan siku tangan kanannya retak dalam kejadian yang berlaku selepas selesai waktu rehat.
Kavi berkata, kejadian berpunca apabila dia pernah melaporkan kepada guru berhubung tindakan ponteng dilakukan dua pelajar terbabit sehingga menyebabkan mereka dihukum rotan, kira-kira dua bulan lalu.
Rentetan itu, katanya, dua rakan sekelasnya itu menaruh dendam dan membulinya beberapa kali termasuk pernah dibaling dengan kerusi menyebabkan dia cedera di kaki.
“Dalam tempoh dua bulan itu, saya dibuli sekurang-kurangnya empat kali, malah yang terbaharu adalah Isnin lalu apabila seorang daripada mereka menendang bahagian belakang saya.
“Ketika itu, tangan kanan saya sakit dan tidak boleh bergerak, namun rakan saya itu tidak peduli, malah terus memulas tangan saya. Nasib baik saya berjaya melepaskan diri dan berlari ke arah bilik guru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ladang Jabi, Batu 11, di sini, pagi tadi.
Akibat kejadian itu, Kavi berkata, dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang dan doktor mengesahkan siku kanannya retak sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena Rabu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan menahan seorang pelajar berusia 14 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis Khamis lalu. -BHOnline