KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa masih memburu lima lagi suspek yang
disyaki terlibat dalam kes tikam petugas stesen televisyen swasta, Ahmad Hawari Zakaria di pangsapuri di Setapak, di sini Jumaat lepas.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat, dua suspek kini dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes itu sementara lima yang lain sedang diburu.
“Kita telah tahan dua suspek dan sedang buru lima lagi, dia (Ahmad) juga telah kembali stabil dan mungkin dibenarkan keluar tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ahmad Hawari, 32, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam Jumaat lalu, Ahmad Hawari, yang bertugas sebagai pengurus pentas dipercayai ditikam seorang wanita yang juga rakan kepada jirannya di perut dan kini dirawat di HKL.
Kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai berselisih faham dengan sekumpulan lelaki di hadapan dua pengawal keselamatan yang sebelum itu dihubungi seorang penghuni kondominium terbabit untuk meleraikan pergaduhan.