JOHOR BAHRU: Seorang pengusaha syarikat teksi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima suapan RM1,000 daripada seorang pemandu teksi tahun lalu.
Radzali Attan, 55, yang juga bekas Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi Muar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Dia didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Mahkamah turut mengarahkan penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Radzali didakwa menerima wang itu sebagai galakan bagi mendorong dengan cara menjalankan pengaruh peribadi penjawat awam iaitu pegawai daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dalam kejadian di Jalan Bakar Batu, Muar, pada 13 Julai 2015.
Suapan itu bagi menyelesaikan kes kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang dilakukan pemandu teksi berkenaan pada 7 Jun 2015.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Norsyarina Raizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.