SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang pemasang siling kapur di sini, semalam.
Mereka yang masing-masing berumur 22 tahun dan bekerja sebagai buruh serta mekanik, ditahan di Mantin dekat sini, dan Batu 9, Cheras, Selangor, antara jam 12.20 tengah malam hingga jam 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata kejayaan itu adalah hasil tindakan pantas polis yang segera mengumpulkan maklumat berhubung kejadian itu dan memburu suspek.
“Polis turut merampas 210 pil Eramin 5 seberat 57.9 gram daripada seorang suspek dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, mangsa maut diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau ketika tidur di rumahnya di Taman Desa Temiang di sini.
“Empat lelaki dipercayai menceroboh rumah mangsa berusia 47 tahun itu.
Tiga daripada mereka menyerang mangsa, manakala seorang lagi yang bersenjata pistol berada di luar bilik.
“Mangsa cuba melawan, tetapi ditetak dan dikelar bertubi-tubi pada kepala dan badan,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah. -BHOnline