Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Ahli Perniagaan Didakwa Tipu Datuk Lebih RM7 Juta

$
0
0

IPOH 06 MAY 2016.  Luke Ram Shori, 54 (kiri), ketika sampai di Mahkamah Sesyen Ipoh, untuk didakwa kerana menipu membabitkan wang berjumlah lebih RM7 juta antara tahun 2013 dan 2014. NSTP/YAHYA ZAINUDDIN

 

IPOH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi atas tuduhan menipu ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan kerugian lebih RM7 juta bagi projek perniagaan ikan koi antara tahun 2013 dan 2014.

Luke Ram Shori, 54, dari Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa menipu Datuk Lee Seng Hee, 61, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan dijadikan sebagai rakan kongsi dalam perniagaan ikan koi melalui Syarikat Best Koi yang tertuduh dakwa miliknya.

Tindakan itu mendorong mangsa melabur dalam projek perniagaan ikan berkenaan dengan memasukkan sebahagian wang ke dalam akaun Syarikat Best Koi, manakala sebahagian lagi ke akaun Syarikat Sakai Fish Farm Co Ltd di Jepun, berjumlah RM7,625,327.40 kononnya untuk pembelian ikan koi bagi projek perniagaan.

Kesalahan dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Yang Kalsom Ipoh, mulai 11 November 2013 hingga 22 Julai 2014. Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat atau kedua-duanya.

Murtazadi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan tarikh 8 Jun depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhammad Nor Izzat Nordin. -BHOnline


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Trending Articles