GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan seorang jurutera membela diri atas tuduhan membunuh teman wanitanya pada Hari Valentine, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah, mengeluarkan perintah itu terhadap Cheong Teik Keon, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Teik Keon didakwa membunuh Tan Ching Chin, 24, di rumahnya di Taman Hwa Seng, Jalan Rozhan, Alma, Bukit Mertajam pada jam 8.40 pagi, 14 Februari 2013.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, manakala tertuduh diwakili Muhammad Arif Shaharuddin. Mahkamah menetapkan 23 hingga 25 Mei ini sebagai tarikh bicara. -BHOnline