Seorang wanita dan tiga lelaki beragama Islam ditahan kerana meminum alkohol dalam serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah pusat hiburan jam 1 pagi tadi.
Seorang daripada mereka yang ditahan dalam serbuan di Jalan Lumut itu adalah penjawat awam.
Pusat hiburan itu dikesan menjadi lokasi tumpuan golongan pertengahan umur untuk berhibur dan meminum arak.
Pegawai kerajaan yang berusia 40 tahun itu yang didapati memiliki senjata api yang bukan miliknya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad dilaporkan berkata, serbuan dibuat selepas menerima aduan bahawa pusat hiburan itu menjadi tempat hiburan utama bagi umat Islam.
“Sewaktu serbuan dilakukan, kita dapati sebahagian mereka datang bersama-sama dengan isteri dan kekasih mereka untuk berhibur bersama-sama,” katanya.
Pengumpulan risikan Jawi katanya, menunjukkan pusat hiburan terbabit adalah lokasi kegemaran bagi umat Islam yang berumur antara 40 hingga 50 tahun.