JOHOR BAHRU: Seorang inspektor polis didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pilihan bersetuju menerima wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki membabitkan kes kemalangan maut, dua tahun lalu.
Mohd Shulul Azmi Shuaibon, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa bersetuju menerima wang tunai RM3,000 daripada Azman Mat Zain, 46, tanpa balasan. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada jam 5.25 petang, 15 Januari 2014.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik, manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin. -BHOnline