TUARAN 7 Mei – Seorang warga emas antara 14 individu yang ditahan di Telipok Ria, di sini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel elektrik, baru-baru ini.
Warga emas berusia 60 tahun yang merupakan dalang Geng Madang itu dipercayai turut terlibat dalam kes kecurian sebuah lori.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Fuad Abdul Malek berkata, warga emas dikenali sebagai Madang itu aktif melakukan jenayah terbabit sejak Januari lalu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihaknya menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lapasan pada Selasa lalu dan berjaya menemukan lebih 200 kilogram kabel elektrik.
“Turut ditemukan dalam serbuan itu adalah beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan tersebut seperti alat penimbang, pemotong wayar, jeriji besi dan pisau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan penemuan itu polis berjaya menahan seramai 13 lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun dengan dua daripadanya merupakan warga asing.
Abdul Fuad menambah, semua tangkapan dan rampasan termasuk lori terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tuaran untuk tindakan lanjut.
Katanya, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu.
“Dengan penangkapan suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes ber-kaitan kejadian curi wayar kabel elektrik di sekitar daerah Tuaran sepanjang bulan Januari hingga April lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431 (a) Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -UtusanOnline