BATU PAHAT: Seorang pemilik kedai gunting rambut maut ditikam ketika disamun di Parit Sulong, dekat sini, petang tadi, manakala suspek cedera parah dilanggar kereta ketika melarikan diri.
Dalam kejadian jam 3.06 petang itu, mangsa yang juga wanita warga tua berusia kira-kira 62 tahun itu berada seorang diri di kedainya di tingkat dua Medan Niaga Majlis Daerah Yong Peng.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata suspek yang berusia 31 tahun berpura-pura memasuki premis berkenaan untuk memotong rambut sebelum bertindak menyamun wanita berkenaan.
Bagaimanapun, terjadi pergelutan antara suspek dan wanita berkenaan sebelum warga tua itu akhirnya maut ditikam di bahagian belakang badan.
“Suspek yang melarikan diri menaiki motosikal sejurus selepas kejadian kemudian dilanggar kereta kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian dan mengalami kecederaan parah.
“Suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan namun dikawal ketat polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BHOnline