KUALA LUMPUR: Keasyikan 42 lelaki warga asing melanggan pelacur berakhir apabila mereka ditahan dalam serbuan Polis Bukit Aman, ke atas lima premis pelacuran di Jalan Silang, di sini, petang tadi.
Dalam serbuan selama dua jam itu bermula 4 petang itu, Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat Judi dan Gengsterisme (STAGG), turut menahan 50 wanita termasuk 13 rakyat tempatan serta dua lelaki berpakaian wanita.
Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata dalam serbuan sama, pihaknya juga turut menyelamatkan tujuh wanita warga India, selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sindiket pelacuran di kawasan itu.
“Semasa serbuan, sebahagian dari mereka ditangkap ketika berada dalam bilik yang disediakan di dalam lima premis rumah kedai yang diubahsuai menjadi pusat pelacuran.
“Kawasan ini juga dikesan menjadi tumpuan pekerja asing terutama warga Bangladesh, Nepal, Myanmar dan India untuk melepaskan nafsu pada setiap hujung minggu,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan 10 lelaki dan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai penjaga dan pekerja semua premis yang diserbu.
“Kita percaya aktiviti pelacuran wujud selepas berjaya merampas 100 kondom; 4 kotak cecair pelincir; buku catatan giliran layanan seks; walkie-talkie; telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM3,505.” katanya. -BHOnline