Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Tempoh Reman 4 Sekeluarga Gadis maut Didera Dilanjut 7 Hari

$
0
0

images

 

KEMAMAN – Tempoh tahanan reman terhadap empat ahli keluarga gadis berusia 22 tahun yang mati dipercayai didera dalam kejadian 26 April lalu di Batu 5, Binjai, dilanjutkan selama tujuh hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tempoh tahanan terhadap bapa kandung mangsa yang berumur 49 tahun, ibu tiri yang berusia 35 tahun, adik perempuan, 21, dan adik lelaki mangsa, 14, dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan siasatan.

“Kita akan lengkapkan siasatan seberapa cepat dan kita yakin tempoh tujuh hari itu mencukupi untuk kita jalankan siasatan lanjut dan lengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya.

“Setakat ini seramai lima saksi awam berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun telah kita panggil untuk direkodkan percakapan, kita mula panggil sejak minggu lalu dan kesemua lima individu itu adalah jiran mangsa. Beberapa individu lagi dijangka diambil keterangan dalam masa sehari dua ini,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kematian mangsa yang mana ketika meninggal dunia berat mangsa hanya 18 kilogram dan tubuhnya dipenuhi kesan gigitan manusia.

Bapa gadis berkenaan yang bekerja sebagai mekanik memaklumkan bahawa anaknya itu meninggal dunia di rumah mereka di Batu 5, Binjai disebabkan demam panas, namun selepas polis menjalankan pemeriksaan terhadap mayat mangsa didapati terdapat beberapa perkara yang mendatangkan syak.

Keputusan bedah siasat turut mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan kebuluran dan jangkitan kuman.

Berikutan itu kesemua empat ahli keluarga mangsa ditahan reman selama seminggu bermula 2 Mei lepas.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum gantung sampai mati. -SinarOnline


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082