KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan satu mayat rentung dalam sebuah kereta Honda Accord yang terbakar di Jalan Genting Pras, Hulu Langat pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan, berkata semua suspek itu yang berusia di antara 27 hingga 43 tahun, ditahan pada 7 Mei lepas dan dipercayai kenalan mangsa.
“Di samping itu, kita mengambil sampel darah dua individu yang dipercayai anggota keluarga mangsa iaitu adik lelaki dan adik perempuannya untuk ujian perbandingan deoxyribonucleic acid (DNA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Othman berkata, semua sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia pada 2.30 petang tadi untuk dianalisis. Khamis lepas, polis menemui petunjuk baharu iaitu sebentuk cincin bagi mengenal pasti identiti mayat yang rentung di dalam kereta berkenaan.
Cincin itu ditemui pasukan polis di dalam but kereta itu pada 7.30 malam Khamis lepas. – BERNAMA