SHAH ALAM: Penahanan seorang lelaki berusia 25 tahun di Seksyen 16 di sini mendedahkan taktik baharu jenayah curi yang menyasarkan hospital swasta. Ia berikutan penemuan beberapa dokumen pengenalan diri bukan milik suspek dalam kenderaan yang dipandunya ketika ditahan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kereta peronda polis menghampiri kenderaannya yang diparkir di tepi jalan di Seksyen 15.
“Pasukan polis peronda terpaksa mengejar suspek kira-kira dua kilometer sebelum ditahan apabila keretanya terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Rasau, di sini.
“Siasatan mendapati mangsa sudah memasuki dua hospital swasta di Seksyen 17 dan satu di Nilai sejak Januari tahun ini berdasarkan penemuan beberapa MyKad dan MyKid yang dilaporkan hilang di pusat perubatan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.
Shafien berkata, suspek dikatakan berlegar dalam kawasan hospital dan memasuki wad untuk mencuri barang milik pesakit yang diletak agak jauh dari katil mereka.
“Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -BHOnline