Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Warga Emas Ditikam Ketika Di Persimpangan Lampu Isyarat

$
0
0

Tikam

KOTA BAHARU: Seorang warga emas yang juga pemandu teksi mati ditikam ketika berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor di sini, sekitar jam 2.30 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Ahmad Taufek Abdullah memberitahu, mangsa Sudin Awang, 67, dibunuh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika teksi yang dipandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Semasa dia (pemandu teksi) berhenti di persimpangan itu ketika lampu merah, suspek menghampiri kenderaannya lalu memecahkan cermin belakang, cermin pintu penumpang depan dan cermin pintu sebelah pemandu dengan objek keras.

“Kemudian pemandu teksi ini diarah keluar daripada teksinya oleh suspek dan kemudian dia dipercayai ditikam dengan senjata tajam sebelum rebah di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Ahmad Taufek berkata suspek kemudiannya melarikan diri ke arah Salor.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, sedang memandu teksinya dari arah Dewan Beta di sini, bersama seorang penumpang wanita yang duduk di bahagian penumpang belakang.

“Penumpang dalam teksi itu bagaimanapun dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu Ahmad Taufek meminta orang ramai termasuk pemandu kenderaan lain yang berhenti di persimpangan itu semasa kejadian berlaku, untuk tampil membantu polis menyiasat kes berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082