KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan pihak berkuasa setelah dia bertindak cuba menyogok anggota polis kerana disyaki memiliki pasport palsu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 40 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan dan cuba mengelak daripada pemeriksaan pasport oleh polis pada 5.50 pagi tadi di kawasan perumahan Subang Permai, Subang Jaya, dekat sini, hari ini. .
“Selepas pemeriksaan, suspek mengeluarkan wang RM50 kepada seorang daripada anggota polis serta minta dilepaskan dengan segera.
“Namun anggota saya menolak pemberiannya tetapi dipaksa suspek untuk menerima sogokan itu dan suspek ditahan polis kerana cubaan menyogok pihak berkuasa,” katanya.
Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tindakan selanjutnya.