BANDAR SERI JEMPOL: Seorang wanita yang hilang kad pengenalan, menyangka dapat mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan membuat laporan palsu bahawa dia menjadi mangsa ragut, semalam.
Jurujual berusia 22 tahun itu, mendakwa diragut oleh seorang lelaki berdekatan sebuah restoran di pekan Bahau dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari. Dia kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata wanita itu mendakwa dompetnya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai sebanyak RM700, hilang dilarikan oleh peragut terbabit.
Bagaimanapun, katanya siasatan yang dijalankan mendapati keterangannya meragukan dan akhirnya wanita itu mengaku membuat laporan palsu.
“Wanita itu sebenarnya kehilangan kad pengenalan dan menganggap JPN tidak akan mendendanya jika dia mengemukakan laporan polis mengenai kejadian ragut itu,” katanya di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.
Katanya, wanita itu akan dihadapkan ke mahkamah esok kerana membuat laporan palsu. -BHOnline