KOTA BHARU – Tindakan seorang janda muda berusia 23 tahun membawa anak lelaki menemaninya ketika melakukan kegiatan pelacuran terbongkar apabila dicekup Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) malam tadi.
Kegiatannya itu dihidu hasil penyamaran yang dilakukan penguat kuasa MPKB-BRI di Jalan Hamzah dalam satu operasi bersepadu selama lima jam bermula pada pukul 9 malam hingga 2 pagi.
Setiusaha MPKB-BRI, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, hasil siasatan pihaknya, wanita itu menjadikan kegiatan tersebut sebagai sumber pendapatan bagi menyara anaknya.
“Sebelum diberkas, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai menjadi bapa ayam cuba mengatur pertemuan untuk menawarkan khidmat wanita terbabit pada harga RM120”, katanya di pejabat MPKB-BRI di sini hari ini.
Tambahnya, operasi turut melibatkan 15 anggota daripada Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Jabatan Agama Islam negeri Kelantan. – K! ONLINE