KAJANG – Sebuah stesen minyak mengalami kerugian selepas disamun lima lelaki bersenjatakan tukul besi dan parang dalam satu kejadian di Grand Saga, Lot 219 Lebuh Raya Cheras-Kajang arah Kuala Lumpur di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima panggilan kira-kira pukul 1.05 pagi daripada orang awam memaklumkan stesen minyak terbabit telah disamun.
“Berdasarkan keterangan juruwang di premis berkenaan, seramai lima lelaki bersenjatakan tukul besi telah memecahkan cermin untuk masuk ke dalam premis berkenaan.
“Suspek menyamun wang tunai sebanyak RM692 sebelum melarikan diri menaiki dua buah motosikal jenis 125Z serta sebuah kereta jenis Proton Gen2 berwarna hitam dan putih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Othman berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata. – K! ONLINE