Kuala Terengganu: Polis mendapati tembakan yang dilepaskan terhadap seorang guru wanita oleh penumpang kereta di depan keretanya di Kuala Berang di sini, dua hari lalu, ialah daripada pistol mainan yang ditembak seorang budak lelaki berusia lapan tahun.
Dalam kejadian itu, guru berkenaan mendakwa ketika kereta dipandunya berada dalam jarak kira-kira lima meter di belakang kereta itu, penumpang depan melepaskan satu das tembakan dengan senjata dipercayai pistol.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, bunyi seperti tembakan dan ada asap.
“Mangsa yang terkejut menjarakkan kenderaan namun sekali lagi penumpang hadapan melepaskan satu das tembakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan itu, guru berumur 38 tahun bertugas di sebuah sekolah menengah di sini, membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira 7 pagi di Jalan Paya Besar itu.
Wan Abd Aziz berkata, hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Pertang Permai, Kuala Berang, kira-kira 8 malam hari yang sama, polis menahan seorang buruh dan dia mengaku memandu kereta itu untuk menghantar anak lelakinya berusia lapan tahun ke sekolah.
“Ketika dalam perjalanan, anaknya bermain pistol mainan dan polis merampas pistol mainan berkenaan yang dibeli dengan harga RM8 di pasar malam Kuala Berang,” katanya.
Beliau berkata polis akan menjalankan pemeriksaan ke atas peniaga yang menjual ‘pistol mancis’ berkenaan. -myMetro