DUNGUN: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit selama setengah jam apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh treler di sini, pagi tadi.
Mohd Sharif Mat Saleh, 36, dari Kubang Bakung, Kuala Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian di Kilometer 373.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini, kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa memandu sendirian sebelum terbabas lalu merempuh belakang sebuah treler di lokasi berkenaan. Kedua-dua kenderaan dilaporkan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jas Wari Awang @ Muhamad, berkata pihaknya mengambil masa hampir dua jam mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
Katanya, pasukan bomba yang menerima panggilan pada jam 5.43 pagi bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota dan sebuah jentera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BHOnline