KUALA BESUT – Cubaan penjenayah merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini dengan menarik mesin tersebut menggunakan sebuah kereta Proton Wira gagal selepas perbuatan mereka dilihat penduduk sekitar.
Dalam kejadian kira-kira 5.32 pagi semalam, suspek bertindak menarik salah satu daripada tiga mesin ATM di bank dekat Pekan Baru Kuala Besut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek bertindak menarik satu mesin ATM yang berada di dalam cermin ruangan di bank itu hingga ke atas jalan raya di hadapan bank tersebut.
Menurutnya, salah sebuah mesin lagi hanya berganjak dari kedudukan asal namun suspek gagal melarikan wang daripada kedua-dua mesin tersebut.
“Suspek melarikan diri apabila menyedari perbuatan mereka dilihat penduduk diikuti ketibaan kereta peronda polis tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian,”katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek terlibat.
Menurutnya, kejadian tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup bank tersebut. -Sinar