IPOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis sudah mengenal pasti kedudukan seorang anggota IS rakyat Malaysia yang mengancam untuk mengebom negara ini dan Indonesia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini polis dengan kerjasama agensi perisikan antarabangsa sedang memantau pergerakan anggota IS berkenaan.
“Polis sentiasa memantau setiap kata bual dalam media sosial termasuk apa yang dimuat naik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangunan negeri Perak di sini pagi tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas video terbaharu seorang anggota IS rakyat Malaysia yang membakar pasport negara ini dan mengancam untuk mengebom Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, berkata Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan manifesto baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar sebaliknya meneruskan akujanji yang sudah dibuat bekas Ahli Parlimen itu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong dan Bukit Chandan sebelum ini.
Beliau berkata, segala projek pembangunan yang dijanjikan BN di kawasan berkenaan sebelum ini akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan.
“Ini bukan janji politik tetapi akan ditunaikan berdasarkan senarai projek pembangunan yang sudah disenarai pendek oleh bekas Ahli Parlimen dan dua ADUN di kawasan berkenaan,” katanya. -BHOnline