KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah jenis Methamphetamine atau syabu seberat lebih satu kilogram bernilai kira-kira setengah juta ringgit ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Khamis lalu.
Pengarah JKDM Sabah, Datuk Janathan Kandok, ketika sidang media di sini, sebentar tadi, berkata dadah itu ditemui dalam bagasi seorang penumpang lelaki yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, lelaki warga tempatan berumur 20 tahun berasal dari Semenanjung itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika memasuki balai ketibaan KKIA, pada kira-kira jam 2.50 petang, Khamis lalu.
“Pegawai Kastam KKIA mengimbas bagasi lelaki itu dan mendapati ada barangan mencurigakan di dalamnya. Dia kemudian diminta membuka bagasi itu untuk diperiksa dan kita menemui satu bungkusan plastik teh Cina di celah-celah pakaian.
“Apabila dibuka, bungkusan itu mengandungi satu lagi bungkusan lain yang di dalamnya mengandungi bahan lutsinar dipercayai dadah Methamphetamine yang dipercayai cuba diseludup ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Janathan berkata, ia adalah kes tangkapan membabitkan dadah yang pertama dilakukan JKDM Sabah di pintu masuk lapangan terbang tahun ini dan kejayaan ke-18 tangkapan dadah dilakukan di pintu masuk negeri sejak 2012.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 12 kes dikesan di Kota Kinabalu, dua kes di Tawau dan empat kes lagi di Sandakan.
“Ia membabitkan rampasan dadah jenis ganja dan Methamphetamine bernilai kira-kira RM14 juta dengan seramai 21 orang iaitu 15 lelaki dan enam perempuan ditahan dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Daripada jumlah itu seramai sembilan orang dijatuhkan hukuman mati, manakala selebihnya masih dalam proses perbicaraan,” katanya. -BHOnline