Bapa kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim terkejut apabila kediaman anaknya di Kota Puteri, Batu Arang, dekat sini dipecah masuk penjenayah petang semalam.
Kejadian itu hanya disedari Rahim Mohd. Yatim, 57, selepas mendapat panggilan telefon daripada jiran Safiq yang curiga selepas pintu depan kediaman anaknya itu terbuka sedikit kira-kira pukul 6.15 petang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, ekoran daripada kejadian itu, Rahim yang menetap di Bestari Jaya pergi ke Kota Puteri dan mendapati kediaman anaknya dalam keadaan berselerak.
“Beliau mendapati ada kesan umpilan pada tingkap dan tiga bilik di kediaman dua tingkat itu.
“Buat masa ini pihak polis masih belum dapat mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ali, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan mencuri. -Utusan