Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Tahan 4 Lelaki Bersama 1 Pistol Tiruan, 28 Tiub Heroin

$
0
0

Logo PDRM

 

KEMAMAN – Sepucuk senjata api tiruan dan 28 tiub serbuk putih disyaki dadah jenis heroin berjaya dirampas selepas polis menangkap empat lelaki dalam serbuan di sebuah tempat penagihan dadah di Kampung Darat Kijal, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.15 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menjumpai pistol tiruan yang lengkap bersarung itu di dalam beg sandang salah seorang suspek yang berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika diserbu dipercayai pemuda 27 tahun itu yang juga peniaga sedang mengagihkan bekalan dadah bersama tiga rakannya yang masing-masing berumur 37, 38 dan 42 tahun.

“Keempat-empat suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis namun dengan kecekapan anggota polis kesemua mereka berjaya diberkas dan setelah pemeriksaan lanjut dibuat kita temui tiga tiub serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dalam poket seluar suspek pertama yang memakai beg sandang.

“Di dalam beg sandang suspek pula kita dapati tersimpan sepucuk pistol tiruan yang berada di dalam sarung. Pistol tiruan itu menyerupai senjata api asli,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, sebentar tadi.

Kata beliau, suspek yang beralamat di Kampung Meraga Beris, Kijal juga merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berdasarkan kad keanggotaan yang turut dijumpai pihaknya.

“Dari hasil siasatan awal yang dilakukan polis percaya pistol tiruan itu digunakan untuk melakukan jenayah dan untuk menakut-nakutkan rakan penagih dadahnya. Siasatan lanjut mengenai penggunaan pistol tiruan terbabit sedang kita lakukan,” katanya.

Menurutnya, dari pemeriksaan yang dilakukan terhadap tiga lagi suspek yang bekerja sebagai buruh, polis menjumpai dadah pada badan dua suspek berkenaan selain satu botol yang mengandungi 21 tiub serbuk putih turut ditemui di atas tanah tempat keempat-empat suspek itu berkumpul.

Mohd Said berkata, ia menjadikan keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 28 tiub dan hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Berikutan itu kesemua suspek terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek yang memiliki senjata api tiruan yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak disiasat di bawah empat kesalahan termasuk mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082