JASIN – Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Jasin di sini pagi tadi atas tuduhan membunuh bapa mertuanya dalam kejadian di Jalan Gading, Kesang pada awal bulan ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Baharin Abdul Raship, 39, didakwa membunuh Muhamat Nekmat, 66, di tepi jalan Batu 15 1/2 Jalan Gading, Kesang, Jasin dekat sini pada pukul lebih kurang 6 pagi hingga 7 pagi , 7 Jun lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaridah Y.Abdul Jaapar.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazreen Nadia Saaban manakala tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.
Zaridah menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula. – K! ONLINE