ROMPIN: Sebahagian premis sebuah bank yang menempatkan mesin deposit wang (CDM) dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bandar Muadzam Shah, di sini rosak dalam kejadian letupan, awal pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Balai Polis Muadzam Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan polis sedang menyiasat bagi mengetahui punca dan motif kejadian.
“Polis terima laporan jam 5.50 pagi tadi dan siasatan sedang dilakukan. Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada wang tunai dari mesin berkenaan dilarikan,” katanya.
Difahamkan, bahagian yang terjejas akibat kejadian letupan itu adalah ruang menempatkan CDM dan ATM milik bank tempatan berkenaan.
Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Din, mendakwa kesan letupan cukup kuat sehingga cermin di belakang premis bank berkenaan turut pecah.
“Pada masa ini, polis dilihat menutup keseluruhan blok bangunan yang menempatkan bank berkenaan, ” katanya.