GOMBAK: Polis mengesahkan jantina mayat rentung dipercayai mati dibunuh yang ditemui di kawasan tangki air, Taman Muhibah, Batu Arang dekat sini Khamis lalu, sebagai lelaki.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata pihaknya sedang menunggu ujian asid deoksitibonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa terbabit.
“Setakat ini, kami tahu mayat itu adalah lelaki selepas pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagaimanapun, identitinya dan punca kematian masih belum dikenal pasti.
“Kami meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini.
Ali berkata, setakat ini terdapat tiga laporan kes orang hilang sejak 16 April lalu dan polis akan menjalankan siasatan sama ada penemuan mayat rentung itu mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung penemuan mayat berkenaan.
“Pada 16 April, 17 dan 31 Julai lalu, kami menerima tiga laporan lelaki hilang berusia 27,31 dan 52 tahun di kawasan Sungai Buloh, Saujana Utama dan Hulu Selangor dan siasatan menyeluruh akan dijalankan untuk mengenal pasti kes orang hilang ini mempunyai kaitan (kes mayat rentung) atau tidak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mayat tanpa identiti itu ditemui seorang pengawal keselamatan selepas terhidu bau busuk dari kawasan berkenaan pada jam 8.30 pagi.
Selepas melakukan pemeriksaan, pengawal itu menemui tengkorak dan cebisan daging manusia yang hangus sebelum memaklumkan kepada polis. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.