Image may be NSFW.
Clik here to view.
SEREMBAN: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang membawa muatan besi lusuh itu terbalik di Persiaran Tasik Senangin, Lenggeng dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Chan Kok Hing, 53, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hidayat Basly, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.36 tengah hari dan seminit kemudian, lima anggota bomba bersama sebuah satu jentera dihantar ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di situ pada jam 12.44 tengah hari, pemandu lori sudah meninggal dunia, manakala kelindan yang kedua-dua kakinya tersepit dikeluarkan dengan menggunakan mesin pemotong hidraulik,” katanya di sini.
Beliau berkata, kelindan berusia 40-an kemudian dihantar dengan ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), manakala mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, penyelia sebuah syarikat, Mohd Faizal Zakaria, 33, yang dalam perjalanan ke Lenggeng, terkejut melihat sebuah lori terbalik. “Saya lihat kepala seorang lelaki terjulur keluar dari tingkap lori sebelum memberhentikan kereta untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Ketika itu, katanya pemandu kelihatan tidak sedarkan diri, manakala kelindan berkenaan meraung kesakitan kerana kakinya tersepit. Mohd Faizal berkata, dia kemudian segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.