KAPAR: Mayat seorang wanita warga tempatan yang disumbat dalam beg pakaian ditemui di kawasan perangkap sampah di Sungai Klang, berhampiran Jalan Harper di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata beg berkenaan ditemui pekerja pembersihan warga Indonesia berusia 34 tahun yang sedang menjalankan kerja di kawasan berkenan pada jam 1 tengah hari itu, sebelum memaklumkan penemuan kepada rakannya.
“Pekerja ini curiga dengan benda yang ada dalam beg kerana ia sangat berat. Malah, pihak polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengangkat beg ini.
“Selepas beg ini diangkat dan dibuka, pihak polis mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan tanpa pakaian serta kaki dan tangan diikat menggunakan kain, selain kaki kanan bersimen.
Namun, tiada sebarang dokumen ditemui,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Mohd Yusof berkata, berdasarkan keadaan fizikal mayat yang sudah mereput dan membengkak, pihak polis percaya mangsa sudah mati antara lima hingga 21 hari.
“Mayat mangsa berumur lingkungan 30 tahun dengan tinggi kira-kira 157 sentimeter ini mempunyai rambut berwarna perang hingga ke paras bahu. Mangsa dipercayai pernah melahirkan anak berdasarkan kesan pembedahan di bahagian perut.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kesan luka yang boleh dikaitkan dengan kematian. Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang ke dalam sungai. “Dalam beg ini juga terdapat sehelai skirt labuh berwarna hijau dan baju tanpa lengan, dipercayai milik mangsa.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-32902222 atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Ahmad Osman di talian 019-6794297.