Kuala Lumpur: Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuktikan mereka tidak ‘pilih kasih’ apabila mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta.
Tindakan diambil susulan penyebaran gambar seorang anggota JPJ menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu kereta milik agensi penguatkuasa JPJ di Johor Bahru.
Susulan itu pihak JPJ mengenakan tindakan saman, ditukarkan jabatan dan tindakan tatatertib terhadap anggota itu semalam.
JPJ Malaysia menerusi kenyataan rasmi semalam memaklumkan, pihaknya memandang serius isu gambar anggotanya menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan yang tersebar di media sosial sejak kelmarin.
Katanya, siasatan serta-merta dilakukan dan mendapati maklumat tersebar adalah benar.
“Saman dikeluarkan oleh Pengarah Penguatkuasa JPJ sendiri pada 26 Ogos (semalam) kepada anggota terbabit.
“Anggota itu juga ditukarkan ke bahagian lain serta dirujuk kepada lembaga tatatertib untuk tindakan selanjutnya kerana mencemarkan imej jabatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam kes kesalahan undang-undang jalan raya.
Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada pengadu yang mengemukakan perkara terbabit kepada JPJ.