KUANTAN – Dua lelaki tidak sempat menikmati hasil samun apabila kereta dipandu mereka terbabas ke dalam parit, kelmarin.
Ketika kejadian, kedua-dua suspek terbabit cuba melarikan diri dengan sebuah kereta selepas mencuri barang dalam rumah yang dipecah masuk di Taman Teratai, Jerantut.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan polis manakala seorang lagi rakan mereka melarikan diri.
Menurutnya, dua suspek cuba mengelak dicekup selepas kereta dinaiki terbalik tetapi sempat ditangkap beberapa jiran mangsa yang mengejar kenderaan mereka.
“Ketika memeriksa kereta suspek, kita menemui seunit komputer riba jenama Acer,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa tiada di rumah kerana berada di kebunnya dan hanya dimaklumkan jiran bahawa rumahnya dipecah masuk pada kira-kira jam 4 petang.
“Mangsa kemudian terus peluang ke rumah dan mendapati tingkat kaca di bahagian tepi rumahnya dibuka serta jeriji tingkap ditanggalkan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik tidur anaknya dan mendapati keadaan di situ berselerak serta komputer riba jenama Acer, kamera litar tertutup (CCTV), telefon bimbit jenama Iphone dan wang tunai RM350 telah hilang,” katanya.
Susulan kejadian itu, mangsa yang bekerja sendiri membuat laporan di Balai Polis Daerah Jerantut.
Azid berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek menggeledah bilik tidur mangsa dan mengambil barang- barang tersebut.
Katanya, mangsa juga mendakwa ketika tiba di rumah, dia sempat melihat seorang lelaki keluar melalui tingkap dan melarikan diri ke tepi jalan.
“Mangsa juga melihat jirannya mengejar suspek dengan kenderaan dan menangkap mereka,” katanya.