KOTA BHARU: Seorang daripada dua banduan yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, berjaya ditahan semula kira-kira setengah jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata sebelum itu dua banduan terbabit dikesan berada kira-kira lima kilometer dari penjara dengan mencerobohi kawasan kediaman pegawai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu.
“Mereka (banduan) memanjat pagar belakang kediaman pegawai polis sebelum melalui kawasan kediaman itu. Bagaimanapun, seorang daripada mereka (banduan) berjaya ditahan oleh seorang pegawai polis yang berada di tempat kejadian.
“Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Ab Mutalib Zahari, 27, berasal dari Kampung Padang Lembik berjaya meloloskan diri dan usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan.
“Sehubungan itu, saya meminta pihak yang melihat banduan yang memakai seluar penjara warna hijau dan berbaju T putih, segera memaklumkan kepada polis,” katanya dalam sidang media, di sini.
Baharom berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan. Kedua-dua banduan itu sebelum ini dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Banduan yang masih bebas itu dikenali sebagai Tolip dan mempunyai 10 rekod jenayah atas kesalahan pecah rumah dan dadah.