KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh semula kes tujuh individu termasuk seorang doktor tentera yang didakwa bersubahat dan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, Sept lepas.
Keputusan itu dibuat Majistret Siti Radzeah Kamarudin selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes itu masih belum diperoleh.
Pembelaan yang diketuai peguam Datuk S. Sivananthan tidak membantah permohonan itu.
Mengikut pertuduhan, G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, didakwa membunuh Kevin dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.
Semua mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Doktor berkenaan, Pakar Patalogi Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat membunuh Kevin di tempat, pada tarikh dan masa yang sama.
Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun sama, yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.