Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Lelaki Cuba Bunuh Polis Diburu

$
0
0

image

IPOH – Polis sedang memburu seorang lelaki yang melanggar dua sekatan jalan raya di Jalan Kampar sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan di Jalan Sultan Azlan Shah dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti itu memandu kereta jenis Proton Satria Neo bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya dijalankan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya, selepas lolos dari sekatan pertama di Jalan Kampar, anggota bertugas mengejar suspek menaiki motosikal sebelum tiga lagi motosikal polis melakukan perkara sama apabila suspek turut merempuh sekatan kedua di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis di Jalan Sultan Azlan Shah ketika insiden kejar mengejar.

“Ketika berhampiran sebuah restoran di Tambun, kereta suspek turut menghimpit dan melanggar sebuah motosikal anggota polis.

“Insiden kejar mengejar itu berlarutan hingga ke Kampung Baru Tambun dan masuk ke dalam kebun limau bali.

“Akibat pelanggaran itu, seorang anggota trafik berpangkat lans koperal berusia 26 tahun cedera di bahagian belakang dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian, semalam.

Chang Keong berkata, tayar kiri bahagian belakang kereta suspek turut pecah dan terdapat kesan tembakan di kenderaan tersebut menyebabkan suspek lari masuk ke dalam kawasan hutan.

“Kira-kira 30 anggota IPD Ipoh terdiri daripada bahagian trafik, bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), unit anjing pengesan (K9) dan unit forensik melakukan operasi menjejaki suspek yang dipercayai masih berada dalam hutan berhampiran.

“Melalui pemeriksaan dijalankan ke atas kereta itu, kami temui Beberapa alat ganti kenderaan namun tiada senjata dijumpai. Siasatan ke atas kenderaan itu mendapati pemiliknya seorang individu dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh anggota polis.

-Sinar


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082