KLANG: Satu sindiket menyeludup minyak masak tumpas selepas sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh di kawasan perindustrian Sungai Puloh, Klang Utama, di sini, diserbu pihak berkuasa hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi dan berakhir jam 4 petang itu, sebanyak 5,000 kilogram (kg) minyak masak yang dipercayai untuk diseludup ke Afrika disita penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor manakala seorang lelaki warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.
Suspek yang berasal dari Afrika dan berusia 30an itu, dipercayai bekerja sebagai pengurus premis itu.
Difahamkan, faktor harga yang tinggi sehingga mencecah RM100 untuk botol bersaiz lima kg, yang dijual di Afrika mendorong sindiket berkenaan menyeludup keluar minyak bersubsidi itu dalam kuantiti yang besar.
Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Selangor Yusof Bakar berkata, kegiatan sindiket yang baru beroperasi sejak beberapa bulan lalu itu berjaya dihidu orang awam yang meragui kewujudan stor berkenaan.
Beliau berkata, nilai rampasan dianggar berjumlah RM10,500 dan dipercayai untuk dieksport ke Afrika berikutan permintaan yang tinggi terhadap komoditi berkenaan.
“Serbuan ini dilakukan hasil makluman orang ramai serta risikan KPDNKK yang mengesyaki berlaku kegiatan penyimpanan barangan untuk tujuan penyeludupan.
“Minyak masak yang dirampas ini akan dibawa ke stor simpanan KPDNKK untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1960 iaitu dengan niat untuk melakukan kesalahan berurusniaga barang kawalan berjadual tanpa lesen atau kebenaran sah.
Katanya, KPDNKK memandang serius sebarang aktiviti penyeludupan barang terkawal kerana ia membabitkan kerugian besar kepada negara. -BHOnline