Putrajaya: Pegawal keselamatan ditahan selepas didapati menggunakan kad pengenalan palsu dalam Ops ID yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bangunan kerajaan di Petaling Jaya, Selangor, tengah malam tadi.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Seri Sulaiman Keling berkata, operasi bermula 11.30 malam itu diketui Penolong Ketua Unit Risikan dan Operasi JPN Putrajaya Mohd Syafiq Jamaludin bersama enam Pegawai Penguatkuasa JPN membuat pemeriksaan di kaunter keselamatan Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas
mendapat maklumat awam.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan pengawal keselamatan berusia 44 tahun itu mengaku berasal dari Sandakan, Sabah dan mendakwa baru sebulan bekerja di premis terbabit.
“Siasatan lanjut mendapati kad pengenalan yang digunakan pengawal keselamatan itu adalah palsu kerana gambar pada dokumen berkenaan sudah ditukar serta tidak merujuk kepada rekod di JPN.
“Pengawal keselamatan itu mendakwa kad pengenalan itu dibeli dari ejen di Labuan, Sabah kira-kira sebulan lalu dengan harga RM600,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sulaiman berkata, siasatan juga mendapati pengawal keselamatan itu berasal dari Zamboanga, Filipina mengaku masuk ke negara ini secara haram melalui Sandakan, Sabah.
Katanya, pengawal keselamatan itu dibawa ke JPN Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. -myMetro