Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

4 Nelayan Warga Vietnam Dipenjara 6 Bulan Selepas Tangkap, Makan Biawak

$
0
0

hqdefault

 

KUALA TERENGGANU – “Kami tidak tahu menangkap biawak adalah satu kesalahan di negara ini, sebab kami tangkap biawak hanya untuk makan,” demikian alasan empat nelayan warga Vietnam sebelum dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Keputusan dibuat selepas empat warga Vietnam yang berusia antara 34 hingga 44 tahun itu mengaku salah menyimpan empat ekor biawak air (Varanus Salvator) yang merupakan antara hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen.

Mereka mengaku salah bersama-sama melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama Akta tersebut di Taman Rekreasi Chendering, di sini, pada 8 Mei lalu, kira-kira jam 4.45 petang.

Dengan itu, mereka berdepan hukuman Penalti Seksyen 60 (1) (a) iaitu penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang tekong warga Vietnam dikenakan denda RM6,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda kerana menyimpan sebahagian babi hutan (Sus scrofa) tanpa lesen.

Tekong berusia 40 tahun itu yang memberi alasan menyimpan daging babi hutan bertujuan untuk dimakan turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Terdahulu, dia mengaku salah menyimpan sebahagian babi hutan (Sus scrofa) yang merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman Penalti Seksyen 60 (1) (b) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Ahmad Ikhwan Zainuddin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad manakala kesemua percakapan tertuduh diterjemaahkan oleh Jurubahasa Mahkamah dilantik.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan Perhilitan menahan empat warga Vietnam yang sedang menangkap biawak air, dalam satu operasi susulan aduan penduduk kampung di sekitar Kuala Ibai dan Chendering, di sini, berhubung aktiviti menangkap biawak air oleh nelayan warga Vietnam secara berleluasa tanpa menjaga sensitiviti penduduk kampung.

Selain itu, seorang tekong yang juga warga Vietnam turut ditahan selepas pemeriksaan seterusnya dilakukan terhadap bot dipercayai milik mereka di Pelabuhan Chendering, di sini, setelah menemui daging babi hutan di dalam bot terbabit. Sinar


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082